Popular Posts

Tuesday, January 4, 2011

Bola

Astro Media jadi rakan penaja Liga Malaysia


Astro Media jadi rakan penaja Liga Malaysia
Astro Media telah bersetuju menjadi Penaja Bersama Liga Malaysia dengan penajaan bernilai RM220 juta bagi tempoh empat tahun.
Penajaan itu meliputi hak penyiaran bernilai RM30 juta setiap tahun mulai 2011 dan tambahan RM100 juta bagi kegiatan promosi oleh setesen satelit berbayar itu.
"Astro merupakan satu daripada bakal penaja yang membida dan kami putuskan untuk memilih mereka sebagai rakan kongsi dan rakan media dengan memberikan hak tertentu perlawanan Liga M termasuk hak penyiaran," kata Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa selepas mesyuarat khas Exco FAM, Ahad lalu, di Wisma FAM.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna Astro Media akan menjadi penaja utama Liga dan mana-mana syarikat yang mahu membuat urusan penajaan, boleh berunding dengannya.
Menurut Tan Sri Annuar, kedudukan RTM yang sebelum ini penyiar rasmi liga, tidak terjejas malah semua saluran TV lain termasuk yang percuma malah media baru seperti TV internet boleh bekerjasama dengan Astro dan RTM bebas untuk berunding mengenainya melalui Astro Media.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh KDYTM Tengku Abdullah Sultah Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM.
"Selain itu kami akan tubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang memantau kerjasama ini kerana keuntungan lebih RM30 juta bakal dikongsi bersama FAM dan Astro Media," katanya lagi.
Telekom Malaysia (TM) sebelum ini menjadi penaja utama Liga Malaysia sejak 2002 dan kontrak itu akan berakhir pada 26 Januari ini.
Penajaan ini hanya untuk Liga Malaysia iaitu Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Presiden tetapi Astro Media diberikan hak sebagai rakan media bagi kegiatan pasukan kebangsaan, pembangunan belia dan wanita mahupun kejohanan-kejohanan lain, tambah Tan Sri Annuar .
Katanya, hak penyiaran Astro juga bukan bererti hanya stesen TV satelit itu yang boleh menyiarkan perlawanan Liga M, kerana FAM tetap akan cuba menggunakan pendekatan di Eropah, yang turut membenarkan stesen TV lain menayangkan perlawanan yang berlangsung serentak.